Friday, March 11, 2011

KOPI KULIT BUAH MANGGIS KAYA DENGAN ANTI - OXIDAN





RIZAL AMIR REJAB
Rizal Amir Rejab menunjukkan produk kopi Stana yang dihasilkan dengan campuran daripada kulit buah manggis yang dikeluarkan syarikatnya di Jerlun, Kedah.

JERLUN 23 Jun - Peribahasa hitam-hitam si tampuk manggis sungguhpun hitam dipandang manis amat sinonim dengan masyarakat negara ini.

Buah manggis (Garcinia mangostana) adalah tumbuhan tropika malar hijau dan dipercayai berasal dari Asia Tenggara.

Ia juga dikenali sebagai permaisuri buah-buahan tempatan, mempunyai rasa yang enak dan selalunya kulit buah ini akan dibuang begitu sahaja setelah isi berwarna putih dimakan.

Namun siapa sangka daripada kulit buah manggis yang dulunya hanya menjadi bahan buangan kini diproses menjadi bahan dalam pembuatan kopi Stana.

Ketua Pegawai Eksekutif Herbavillage, Rizal Amir Rejab, 32, berkata, dia menyedari kulit buah manggis sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat dari segi perubatan kepada manusia.

"Kulit manggis sebenarnya kaya dengan xanthones yang merupakan sejenis antioksidan.

"Buah ini dikatakan boleh membantu memulihkan sistem imunisasi badan dan saya mengambil inisiatif dengan kerjasama pasukan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan produk berasaskan kulit manggis," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Rizal Amir, produk kopi Stana mula berada di pasaran pada 2006 dan mendapat tempat di kalangan penggemar produk berasaskan kesihatan.

"Campuran ekstrak kopi dan adunan yang dihasilkan daripada kulit buah manggis turut diadun dengan garam bukit serta beberapa herba lain untuk menghasilkan produk kopi Stana ini.

"Saya berbangga akhirnya penat lelah saya untuk menghasilkan produk sendiri tercapai dan kini produk ini telah memasuki pasaran Dubai serta Afrika," katanya.

Jelas Rizal Amir, walaupun mempunyai ijazah dalam bidang teknologi maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), jiwanya terarah untuk membina perniagaan sendiri.

"Sebaik tamat pengajian saya memilih untuk membuka perniagaan sendiri, pernah gagal namun saya bangkit semula dengan menghasilkan produk berasaskan kesihatan daripada manggis.

"Selain kopi Stana, syarikat saya juga mengeluarkan jus mangga, teh mangga, sabun dan lain-lain," katanya.

Rizal Amir memberitahu, sebanyak dua tan kulit manggis diperlukan setiap bulan untuk menghasilkan produk berasaskan manggis di kilang miliknya yang terletak di sini.

"Isi manggis hanya terbuang begitu sahaja dan kini saya sedang berusaha untuk mengadakan rundingan bagi memasarkan isi buah manggis segar ke pasaran Jepun.

"Saya menerima maklumat bahawa isi manggis yang kaya dengan pelbagai khasiat amat digemari oleh penduduk Jepun," jelasnya.

No comments:

Post a Comment